20 Oktober 2010

PANDUAN MENULIS SINOPSIS

Sinopsis sebenarnya ialah ringkasan cerita atau kisah yang menggambarkan keseluruhan karya. Sinopsis dibina berdasarkan rentetan peristiwa penting dalam sesebuah sesebuah cerita. Lazimnya,peristiwa penting ini dapat dikesan melalui pergerakan atau tindak-tanduk watak utama yang diketengahkan oleh penulis. Sinopsis merupakan suatu cara yang efektif untuk menyajikan novel yang panjang dalam bentuk yang singkat,tetapi masih tetap mempertahankan isi atau gagasan umum yang digarap oleh pengarangnya.

Ghalibnya,setiap pengarang mempunyai gaya tersendiri dalam mengemukakan ceritanya. Ada pengarang lebih suka menulis novel mereka mengikut bab-bab kecil, sama ada sekadar diberikan siri nombor mengikut urutan sahaja atau dengan mengemukakan sub-sub tajuk tertentu.Pada umumnya,sinopsis boleh dibina dalam satu perenggan atau beberapa perenggan berdasarkan cerita yang disampaikan oleh novelis.Untuk itu,sebelum menulis sinopsis pelajar perlu mengambil kira langkah-langkah yang berikut:

a. Membaca novel tersebut untuk mengetahui dan memahami cerita
keseluruhan.

b. Mengenal pasti watak-watak yang terlibat dalam cerita.

c. Mencatatkan setiap peristiwa penting mengikut bab.

d. Menulis semula cerita berdasarkan peristiwa-peristiwa.

Secara tuntasnya, menulis sinopsis bukanlah satu perkara yang susah atau membebankan kerana pelajar sudah pun mempunyai kemahiran menulis ringkasan. Yang penting, setiap sinopsis tidak boleh menyimpang daripada jalan cerita atau isi yang tedapat dalam novel yang dipelajari. Oleh itu,setiap sinopsis perlu ada peristiwa yang menggambarkan peringkat permulaan,perkembangan dan seterusnya peringkat kesudahan .Secara tidak langsung seseorang yang membaca sinopsis sesebuah novel walaupun ringkas dan padat,sedikit sebanyak dapat mengetahui jalan cerita novel berkenaan keseluruhannya,sekali gus dapat merangsang minat mereka untuk membaca novel tersebut.
e@siswa.april 2007 _mhr10

Tiada ulasan:

Catat Ulasan