28 Oktober 2010

MENULIS PENDAHULUAN KARANGAN

Pendahuluan dalam sesebuah karangan amatlah penting.Pendahuluan akan memberikan gambaran pertama kepada pemeriksa tentang kualiti sesebuah hasil penulisan yang akan diperiksa. Kandungan perenggan pendahuluan adalah seperti berikut :
  • Jangan masukkan isi
  • 50/60 patah perkataan (untuk SPM)
  • Tepat (menjurus kepada soalan)
  • Jelas
  • Satu perenggan
  • Kaitkan dengan isu-isu semasa
Terdapat beberapa jenis pendahuluan yang biasanya digunakan dalam penulisan karangan . Antaranya ialah :
1. Pendahuluan berbentuk persoalan
2. Pendahuluan berbentuk definisi
3. Pendahuluan berbentuk fakta
4. Pendahuluan berbentuk peribahasa
5. Pendahuluan berbentuk sejarah

PENDAHULUAN BERBENTUK PERSOALAN

Pembangunan negara kita semakin pesat dan rancak. Namun demikian,isu keganasan rumah tangga yang merupakan penyakit sosial semakin gawat nmelanda negara kita.Gejala ini ibarat 'duri dalam daging'. Apakah yang dimaksudkan dengan keganasan rumah tangga? Apakah faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya masalah sosial ini? Siapakah yang harus dipersalah? Di manakah hilangnya nilai-nilai kemanusiaan kita? Mengapakah usaha-usaha yang telah dijalankan selama ini gagal mencari jalan penyelesaian untuk menangani gejala ini ? Apakah rencah yang terbaik untuk membanteras penyakit sosial yang rumit ini? Inilah persoalan yang harus dijadikan renungan dan perbincangan kita.

PENDAHULUAN BERBENTUK DEFINISI
Pembalakan boleh didefinisikan kerja-kerja atau usaha penebangan hutan untuk menghasilkan kayu dengan cara menebang pokok-pokok besar,memotong dahan-dahan pokok dan sebagainya. Pembalakan boleh diklasifikasikan kepada dua jenis,iaitu pembalakan halal dan pembalakan haram. Pembalakan halal merupakan aktiviti membalak yang sah di sisi undang-undang kerana mendapat kebenaran dan dokumen daripada pihak kerajaan. Sebaliknya pembalakan haram merupakan kegiatan membalak yang dijalankan secara haram.Akibat pe,balakan haram, jumlah kawasan hutan di negara kita semakin kurang. Oleh itu,langkah-langkah perlu diambil untuk membendung kegiatan ini.

PENDAHULUAN BERBENTUK FAKTA
Gejala ponteng sekolah yang berlaku sejak akhir-akhir ini kian menjadi-jadi dan sukar dibendung. Kajian yang dilakukan oleh Jabatan Perdana Menteri membuktikan bahawa masalah ini boleh dikatakan berlaku di seluruh sekolah di dunia.Lebih malang lagi,peratusan kes di negara kita dikatakan meningkat setiap tahun. Hakikatnya,budaya ponteng sekolah ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,malah perlu ditangani segera.

PENDAHULUAN BERBENTUK PERIBAHASA

Orang Melayu memang kaya dengan peribahasa yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan. Antara peribahasa yang menggambarkan seseorang yang tidak mengenang budi dan jasa ialah 'seperti kacang lupakan kulit' dan 'seperti ulat lupakan daun'.Peribahasa 'seperti kacang lupakan kulit' bermaksud seseorang yang lupa akan orang yang telah menolongnya setelah menikmati kesenangan. Oleh itu, sikap seperti ini perlu dikikis dalam hidup kita. Kita haruslah sentiasa menghargai dan berterima kasih kepada segala jasa,pertolongan dan pengorbanan orang lain kepada kita.Orang yang mengamalkan prinsip hidup'seperti akcang lupakan kulit' tidak akan hidup bahagia, sama ada di dunia ataupun akhirat.


PENDAHULUAN BERBENTUK SEJARAH

Malaysia dan Nusantara ,mempunyai bahasanya yang tersendiri ,iaitu bahasa Melayu. Bahasa Melayu telah menjadi bahasa perhubungan atau 'lingua franca' sejak lebih enam ratus tahun yang lalu,lebih lama daripada bahasa Inggeris yang hanya bermula pada pertengahan kurun ke-16. Sejak tahun 1955,bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi negara sejak merdeka. Pada tahun 1957,iaitu selepas merdeka, bahasa Mleayu disytiharkan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang termaktub dalam perlembagaan negara.

"BERSAMA MENYUMBANG KE ARAH KECEMERLANGAN"

SMKDPKEDIT2010



Tiada ulasan:

Catat Ulasan